2014年4月24日星期四

Perpindahan Rumah Ulat Bulu dan Pengenalan Lipas.


Tarikh: 24 April 2014
Hari: Khamis
Kelas: Kelas Durian
Guru Pendidik: Cikgu Tee dan Cikgu Nurul
Tema: Pelbagai Warna Serangga
Masa: 4.00-5.00 PM

Proses Pembelajaran
Seperti hari sebelumnya, kami meneruskan pembelajaran kami dengan tematik Serangga. Jika sebelum ini, saya telah mengarahkan murid-murid untuk membawa beberapa ekor serangga ke sekolah. Ini adalah untuk murid-murid berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan yang lain di dalam kelas. Beberapa hari yang lepas, Wen Xuan telah membawa beberapa ekor kriket ke kelas untuk dipertontonkan oleh rakan yang lain. Menurutnya, dia telah membeli 10 ekor kriket di kedai oleh bapanya namun beberapa ekor kriket telah melepaskan diri. Keesokan harinya iaitu hari ini, Wen Xuan telah membawa 5 ekor lagi kriket ke kelas. Menurutnya lagi, kali ini dia dan emaknya yang menangkap kriket itu sendiri. Ini membuatkan kami teruja untuk membela kriket-kriket tersebut.

Dalam masa yang sama, seorang lagi murid iaitu Yi Xin juga telah membawa beberapa ekor ulat bulu sebelum ini. Ada dua ekor telah berjaya mereka bela hingga menjadi kepompong. Beberapa orang murid telah dipanggil untuk menceritakan pengalaman mereka antaranya Yee Jie, Wen Xuan dan Yi Xin. Hari ini, Yi Sin dapat membawa lagi 2 ekor ulat bulu ke sekolah. Setelah beberapa kali berbincang bersama murid yang lain, mereka bersetuju untuk meletakkan dua ekor ulat bulu yang baru ke tong merah jambu sebelum ini. Sesi perpindahan ‘rumah baru’ ke atas dua ekor ulat bulu telah disaksikan oleh murid-murid sekalian. Mereka amat gembira setelah ulat bulu itu dipindahkan. Mungkin mereka terlalu gembira seakan mereka tahu ulat bulu itu juga akan menjadi kepompong seperti ulat bulu yang sebelum ini.





       Seterusnya, sesi pembelajaran dijalankan seperti biasa. Seorang murid iaitu Yee Jie telah berjaya menangkap seekor lipas. Lipas itu kemudiannya diletakkan sebagai serangga peliharaan di kelas. Saya (Cikgu Nurul) telah menerangkan beberapa ciri lipas antaranya ialah 2 jalur sesungut, 3 pasang kaki (6 kaki), dan terdapat juga sayap di belakang badannya. Saya juga telah menerangkan warna lipas itu kepada murid sekalian. Beberapa patah perkataan secara tak langsung diajar kepada mereka seperti sesungut, sayap dan coklat. Saya mengarahkan murid-murid beratur menjadi satu baris untuk melihat lebih dekat lipas tersebut.




Sementara itu, setelah saya melihat perkembangan kriket-kriket yang sedia ada, saya dapati beberapa kriket telah mati. Mungkin kriket-kriket itu tidak mendapat makanan, air dan udara yang secukupnya walaupun kami telah meletakkan beberapa helai keratas dan daun sebagai makanan kriket, juga telah meletakkan beberapa titis air sebagai minuman kriket. Botol yang berlubang-lubang adalah untuk keperluan udara bagi kriket-kriket itu. Maka, kami merasakan ia memadai untuk kriket-kriket tersebut hidup selama kami menjaga mereka. Namun, masih terdapat juga kriket-kriket yang mati walaupun setelah kami usahakan pelbagai keperluan untuk mereka. Akhirnya, saya (Cikgu Nurul) telah mencadangkan kriket-kriket yang ada untuk dilepaskan. Ini adalah untuk menjamin kelangsungan hidup kriket-kriket itu.

Detik yang paling mencemaskan terjadi seketika tadi. Pada mulanya, kami semua bersetuju untuk melepaskan kriket-kriket itu. Saya telah mengarahkan murid-murid sekalian untuk turun ke kebun bagi melepaskan kriket-kriket tersebut. Dalam perjalanan menuju ke kebun, tiba-tiba seorang murid iaitu Wen Xuan telah menangis sekuat hati di depan pintu grill. Melihatkan keadaan itu, Cikgu Tee telah menyuruh saya berhenti dan tidak perlu meneruskan aktiviti kami. Rupa-rupanya, Wen Xuan menangis kerana tidak mahu kami melepaskan kriket-kriket yang telah dia tangkap. Masalah komunikasi berlaku apabila murid-murid tidak memahami apa yang saya terangkan. (Saya dinasihatkan untuk mengajar mereka dalam bahasa Melayu, saya hanya perlu bercakap dengan mereka sepenuhnya dalam Bahasa Melayu), Akhirnya, dia (Wen Xuan) masih mahu membela kriket-kriket tersebut. Melihatkan keadaan Wen Xuan, kami sekali lagi berbincang adakah perlu kriket-kriket itu dilepaskan. Bagi menghormati keputusan Wen Xuan, kami akhirnya bersetuju untuk membela kriket-kriket itu dengan syarat kriket-kriket itu tidak lagi mati. Sekiranya terdapat lagi kriket yang mati juga, Wen Xuan tidak berasa ragu-ragu untuk melepaskannya.




Keadaan kembali normal. Semua murid kembali ke kelas. Saya mengingatkan kembali apa yang telah dipelajari oleh mereka hari ini. Mereka semua amat peka setelah apa yang mereka belajar dapat dilihat, disentuh dan dikaji oleh mereka.

没有评论:

发表评论